ANDA pasti runsing apabila melihat punggung bayi kemerah-merahan dipenuhi ruam, apatah lagi jika si kecil asyik merengek dan meragam kerana terlalu pedih setiap kali membuang air kecil atau besar.
Ruam lampin bukan sejenis penyakit tetapi boleh menyebabkan anak anda berasa tidak selesa. Keadaan ini boleh dipastikan apabila punggung si kecil kelihatan kemerah-merahan dan ditumbuhi ruam halus.
Ketidakselesaan ini bagaimanapun bukan sukar diatasi, malah, anda boleh mengucapkan selamat tinggal kepada ruam lampin untuk selama-lamanya.
Apa yang penting ialah sebagai ibu bapa anda perlu bertindak untuk mencegah ketidakselesaan itu di kalangan anak anda.
Penggunaan lampin ketika ini tidak terhad kepada pemakaian lampin jenis kain tetapi sekarang ini, ibu bapa sering memilih penggunaan lampin pakai buang untuk memudahkan mereka dan memastikan anak selesa untuk bergerak.
Penggunaan lampin jenis kain mahupun lampin pakai buang, bagaimanapun bergantung kepada kulit bayi. Kulit bayi begitu halus dan sensitif dan kadangkala tidak semua bayi terlepas daripada masalah ruam lampin.

Berikut ialah langkah yang boleh diambil untuk cegah ruam lampin:

1. Elak menggunakan lampin
Sebagaimana kita sedia maklum perkataan ruam lampin berasal dari perkataan Inggeris iaitu diaper rash dan disebabkan diaper itu membawa maksud lampin, maka anak anda tidak sepatutnya menggunakan lampin.
Pakar Kanak-Kanak di University of Virginia di Pusat Kesihatan Sains di Charlottesville, Prof Dr Gregory Hayden, berkata jika bayi mengalami masalah ruam lampin, pastikan ia hanya digunakan jika perlu.
“Dengan cara ini, najis dan air kencing bayi tidak akan bersentuh dengan kulitnya. Bagaimanapun, untuk memastikan kebersihan, anda boleh meletakkan bayi di atas sekeping tikar getah yang turut dialas dengan sehelai kain”, katanya.
2. Kerap menyalin lampin
Jika anda masih mahu menggunakan lampin, pastikan anda kerap menukarnya untuk mengelakkan ruam lampin. Ini juga dapat memastikan bayi anda sentiasa bersih dan berkeadaan kering.
Pakar Kanak-Kanak di University of Nebraska, Dr Jeannette Pergam, berkata kelembapan dan persekitaran yang hangat di bawah lampin boleh menyebabkan jangkitan pada kulit bayi yang halus.
3. Elak guna tisu pelembap
Pelbagai tisu pelembap boleh didapati di pasaran ketika ini. Bagaimanapun, sebaik-baiknya jauhi daripada menggunakannya. Ini kerana, kandungan alkohol dan beberapa bahan kimia lain boleh menimbulkan masalah pada kulit bayi.
Dr Pergam berkata, ibu bapa sepatutnya menggunakan kain basah bersama sabun untuk membersihkan punggung bayi. Bagaimanapun, pastikan anda membersih dan membilas kain itu dengan air bersih sebelum menggunakannya.
4. Keringkan punggung bayi
Apabila menukar lampin bayi, pastikan anda membersihkannya terlebih dulu dengan tuala kering. Sebaik-baiknya biarkan bahagian punggung bayi terdedah untuk beberapa minit sebelum memakaikan semula kain lampin.
5. Gunakan salap(sejenis krim yg disapu kat ponggong bayi)nnt sy letak pic nye.
Sebahagian besar pakar kanak-kanak mengesyorkan penggunaan krim ruam lampin atau salap setiap kali menukar lampin bayi. Krim atau salap itu akan bertindak sebagai penghalang kepada najis dan air kencing yang boleh menimbulkan radang kulit.
Mungkin ada yang menganggap penggunaan salap boleh menyebabkan kulit menjadi lembap tetapi dalam sebahagian besar kes salap boleh melindungi kulit bayi daripada masalah ruam lampin.
6. Gunakan bedak bayi
Menyapukan punggung bayi dengan bedak debu boleh melindungi kulit daripada ruam lampin. Apabila menggunakan bedak debu, pastikan anda meletakkannya di atas tapak tangan dan menggosoknya seketika sebelum menyapu ke punggung bayi.
7. Jemur lampin
Ada pendapat mengatakan bahawa sebaik-baiknya anda menjemur lampin yang dipakai oleh bayi dan tidak mengeringkannya dengan alat atau mesin pengering pakaian. Biarpun ini dianggap sebagai dongeng tetapi hakikatnya ia berkesan untuk mengelakkan ruam lampin.
8. Elak guna seluar plastik
Kadangkala selepas mengenakan lampin, anda akan memakaikan seluar plastik kepada bayi. Sebaik-baiknya elak menggunakan seluar plastik ini kerana ia akan melembapkan lampin dan menjadi punca kepada ruam lampin dan radang kulit.