Seorang yang kalian anggapkan guru, jangan jadikan beliau umpama kaunter pertanyaan, sewaktu ada masalah, baru ke kaunter, jika tiada masalah, telefon tidak pun tidak berjawab, walau berkali-kali cuba dihubungi, yang padahal dengan FB boleh sibuk, tidak susah untuk menjawab sepatah Salam.
Adab perlu dijaga, walau siapa jua antum, kecualilah jika antum memilih untuk mufaraqah dari pimpinan atau jemaahnya. Jika antum seorang penuntut hendaklah antum punyai ADAB dalam menuntut ilmu. ADAB orang yang belajar ilmu.
Maka, disebutkan oleh Al Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al Ghazali ath-Thusi asy-Syafi'i (Imam Al-Ghazali رحمه الله تعالى) di dalam Bidayatul Hidayah sebanyak 11 perkara berkaitan ADAB dengan guru, iaitu:
1. Apabila bertemu dengan gurunya, maka hendaklah dia (murid) mendahulukan memberi salam.
2. Jangan banyak berkata-kata di hadapan gurunya itu (terutama perkataan yang tiada kaitan dengan pelajaran).
3. Jangan ia berkata dengan barang yang tiada diizinkan dahulu oleh gurunya.
4. Jangan ia bertanya akan gurunya melainkan meminta izin terlebih dahulu daripadanya.
5. Jangan menyangkal akan perkataan gurunya itu misalnya dengan berkata, "saya dengar ustaz lain berkata …… syeikh lain berkata...( lain daripada apa yang engkau kata itu), atau sebagainya.
6. Jangan ia menyalahkan akan bicara gurunya, lalu (murid itu) merasa bahawa (dia) terlebih benar daripada (apa yang dikatakan) gurunya; atau terlebih tahu ia daripada gurunya. Maka yang demikian itu kurang adab kepada gurunya lagi kurang berkat.
7. Jangan ia berbisik-bisik dengan orang yang sama duduk (iaitu duduk bersamanya) di hadapan gurunya itu.
8. Jangan ia berpaling ke kiri dan ke kanan pada hadapan gurunya itu, (bahkan sebaliknya) hendaklah ia duduk tunduk lagi beradab seolah-olah ia di dalam sembahyang.
9. Jangan terlalu banyak pertanyaan kepada gurunya itu tatkala segan gurunya itu daripada berkata-kata (iaitu kurang suka memperkatakan atau membicarakannya), atau tatkala dia lelah (letih atau penat).
10. Apabila berdiri gurunya atau baharu hadir gurunya itu, maka hendaklah ia berdiri, kerana menta'dzimkan akan gurunya itu, dan jangan diikuti pada ketika bangkitnya itu dengan pertanyaan atau soalan. Dan jangan bertanya masalah pada ketika ia berjalan hingga sampai kepada tempat duduknya itu, melainkan kerana dharurat (terpaksa) maka iaitu tiada tertegah bertanya di dalamnya (pada ketika itu).
11. Jangan buruk sangka akan gurunya itu pada segala perbuatannya yang dzahir menyalahi i'tiqadnya, atau bersalahan perbuatan gurunya itu (yakni melakukan sesuatu yang lain daripada) pengetahuannya, atau dengan adatnya (yakni kebiasaannya); kerana gurunya itu terlebih tahu dengan segala hukum syara' dan segala rahsia syariat, seperti perihal Nabi Musa (عليه السلام) dan Nabi Khidir (عليه السلام).
* Teringat sewaktu menadah dahulu, tersenguk sikit, Guru percik dengan air ke muka. Tersengguk kali kedua, Guru tepuk lantai dengan kuat. Tersenguk kali ketiga, Guru halau keluar muhadharah.
Itulah kali pertama dan terakhir sang faqir dihalau keluar dari muhadharah dek kerana tersenguk sewaktu menadah kitab.
Kata Guru, "aku tak marah pasai hang mengantuk, tapi aku marah pasai hang tak jaga adab dengan kitab, kitab untuk mengaji, bukan untuk buat tidoq."
p/s: seorang ibu pn boleh jadi seorang guru kepada anak2 nye bila mereka bersama kita..so kita adalah seorang guru juga hehehe